MAWARTANEWS.com, MEDAN |
Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Medan, Republik Indonesia telah mengadakan Program Pengagihan Bubur Lambuk Malaysia pada 21 Mac 2024 bersamaan dengan 10 Ramadan 1445.
Majlis Pelepasan (Flag Off) Program Pengagihan Bubur Lambuk Malaysia ini telah dirasmikan oleh En. Shahril Nizam Abdul Malek, Konsul Jeneral Malaysia di Medan pada jam 3.30 petang.
Pengagihan kira-kira 700 bungkusan juadah bubur lambuk ini telah dijalankan di hadapan bangunan Konsulat Jeneral dan beberapa lokasi awam di Kota Medan.
Sebahagian juadah bubur lambuk juga turut dikongsikan dengan Kepala-kepala Dinas Pemerintahan Provinsi Sumatera Utara.
KJM di Medan juga telah mengadakan lawatan konsular dan menyerahkan juadah bubur lambuk kepada tahanan rakyat Malaysia di pusat tahanan berhampiran Kota Medan.
Dengan slogan ‘Bersama Berkongsi Tradisi Sambil Bersilaturahim’, program ini bertujuan untuk memperkenalkan dan berkongsi juadah bubur lambuk yang sangat sinonim dengan sambutan bulan Ramadan di Malaysia dengan masyarakat tempatan.
Program ini juga merupakan satu usaha untuk mengeratkan lagi silaturahim antara komuniti Malaysia di Medan khususnya ahli-ahli KJM dan para pelajar Malaysia dengan masyarakat Indonesia di Medan.
Program ini telah dilaksanakan secara bersama oleh ahli-ahli Persatuan Wanita Kementerian Luar (Perwakilan) Medan, Kelab Sukan, Kebajikan, Rekreasi dan Sosial KJM Medan, dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI).
Seramai kira-kira 50 orang ahli jawatankuasa penganjur yang diketuai oleh Leftenan Komander Shahrizan Sahari, Pegawai Perhubungan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) telah bergotong-royong untuk menyediakan tiga kawah bubur lambuk seawal Jam 8 pagi di perkarangan KJM di Medan.
Inisiatif ini diharapkan dapat terus mendukung pengukuhan hubungan antara manusia (people-to-people relations) yang menjadi antara tonggak utama keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Indonesia.